February 23, 2009

Malaysia Mall di Jeddah

MALAYSIA-Saudi Arabia Friendship Society (MSFS), persatuan yang ditubuhkan khas bagi mengukuhkan lagi perdagangan dan perniagaan dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi, menerima tawaran daripada rakan sejawatnya di Arab Saudi bagi mengurus serta mengusahakan sebuah pusat beli-belah di kota Jeddah selama 15 tahun. Tawaran diterima daripada Arab Saudi-Malaysia Friendship Society (ASMFS) itu, bakal menyaksikan sebuah pasar raya elit Malaysia bernilai RM600 juta yang pertama dibangunkan di Arab Saudi. Dikenali sebagai Malaysia Mall, ia bakal menempatkan barang dan perkhidmatan, hanya daripada syarikat Malaysia.
Presiden MSFS, Ahmad Khairuddin Ilias, berkata Malaysia Mall, yang akan memulakan operasi 1 Ogos ini, bakal menawarkan peluang perniagaan dan perdagangan kepada syarikat Malaysia untuk memasuki serta memasarkan produk tempatan ke negara teluk, khususnya Arab Saudi. Katanya, pada masa sama, pusat beli-belah itu juga berperanan menjadi hab bagi syarikat dari Arab Saudi dan Asia Barat untuk bertemu serta mengadakan perniagaan dua hala dengan rakan sejawat mereka dari Malaysia. "Ketika dunia berdepan krisis kelembapan ekonomi global yang berpunca daripada Amerika Syarikat (AS), iaitu pasaran import utama barangan dan kemudahan daripada Malaysia, kita tidak harus risau atau menjadikannya satu masalah ketika ini.


“Kami di MSFS tahu, ramai syarikat Malaysia mengeluh kerana AS kini tidak lagi aktif mengimport barang dan perkhidmatan dari Malaysia. Justeru, dalam mengurangkan kesan dan menyelesaikan masalah itu, MSFS mencari jalan untuk mempelbagaikan pasaran bagi syarikat tempatan menerusi Malaysia Mall. "Malaysia Mall adalah adalah inisiatif terkini diketengahkan untuk syarikat Malaysia. Kami menyediakan prasarana untuk syarikat Malaysia memasarkan produk dan menjadi jalan penghubung bagi pelbagai sektor di antara Arab Saudi dan Malaysia," katanya dalam temu bual bersama Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Malaysia Mall, yang di bina di kawasan penempatan elit di Kota Jeddah itu, terletak hanya lima kilometer perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz. Pembinaan pasar raya tiga tingkat yang mempunyai keluasan 44,000 meter persegi dan boleh menempatkan 300 kedai serta mempunyai 2,500 kemudahan letak kereta itu, di jangka siap sepenuhnya akhir bulan ini

No comments:

Post a Comment